Wednesday, December 28, 2011

Nasihat untuk ahli pas

POLITIK ADA FEKAHNYA

Peringatan ini ditujukan khusus
kepada seluruh kepimpinan dan
ahli PAS, serta masyarakat di
Malaysia secara umumnya, dalam
kita mendepani permasalahan
yang sedang berlaku di waktu ini. Firman Allah dalam Surah At-
Taubah ayat 122: Maksudnya: (Dan bukanlah semua
orang-orang yang beriman itu
keluar berperang. Mengapa tidak
ada satu kumpulan di kalangan
mereka yang bertafaquh (belajar
dan memahami) ajaran Islam dan supaya mereka pulang memberi
peringatan apabila kembali
menemui kaum mereka, mudah-
mudahan mereka menerima
peringatan). (At-Taubah: 122) Sabda Rasulullah S.A.W. ِﻦﻳِّﺪﻟﺎﻴِﻔُﻬْﻬِّﻘَﻔُﻳﺍًﺮْﻴَﺨِﻬِﺒُﻬَّﻠﻟﺍْﺩِﺮُﻴْﻨَﻣ Maksudnya: (Sesiapa yang Allah
menghendakinya menjadi seorang
yang baik nescaya dijadikannya
faqeh (faham) dalam perkara
agama Islam). Riwayat Bukhari
Muslim Kedua–dua nas ini menunjukkan
bahawa Islam itu bukan sahaja
semangat yang berkobar-kobar
dan ilmu secara bertulis, dalam
masa yang sama ianya mempunyai
disiplin ilmu serta memahami cara pelaksanaannya. Semua bidang
dan lapangan ajaran Islam
hendaklah dipelajari bukan sekadar
sebagai satu ilmu, tetapi dalam
masa yang sama hendaklah
memahami cara beramalnya. Allah S.W.T. memerintah kepada
sesiapa yang memperuntukkan
masa hidupnya dalam perjuangan
supaya mengambil masa untuk
belajar daripada kalangan yang
belajar dengan faqeh (faham). Apabila belajar, maka hendaklah
pula daripada kalangan ahli ilmu
yang bukan sahaja faham, bahkan
beramal dan berjuang dengan ilmu
yang dipelajari itu dengan
kefahamannya yang tulen dengan penuh istiqamah. Perkataan feqah pada zaman awal
Islam merangkumi semua ajaran
Islam. Kemudiannya para ulama
mengkhususkan istilahnya kepada
hukum syariat sahaja. Adapun
perkara yang berkait dengan iman atau aqidah dinamakan Usulu Al
Din atau ilmu Tauhid atau Aqidah
dan yang berkait dengan akhlak
pula dinamakan Akhlak atau
Tasswwuf. Mafhum bahasa Al Quran dan
Sunnah Rasulullah S.A.W.
merangkumi seluruh ajaran Islam
hendaklah dilaksanakan secara
Feqah atau faham, khsusnya dalam
perkara hukum syariat yang tidak ada nas yang nyata atau
bergantung dengan ijtihad. Sirah
Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa
Al Rasyidin banyak menunjukkan
huraian yang nyata, betapa
perlunya ajaran Islam itu dihayati dengan Feqah (Fahaman) bukan
sahaja dengan ilmu. Feqah bukan
sahaja seperti difahami oleh
masyarakat awam hanya dalam
perkara ibadat, sembahyang,
puasa, zakat dan haji; bahkan merangkumi segala ajaran Islam.
Khususnya dalam perkara politik
yang dilupakan atau dijahilkan
oleh sebahagaian besar umat Islam. Ketika berhijrah dari Makkah ke
Madinah, yang juga merupakan
amalan berpolitik yang membawa
kepada tegaknya negara dan
masyarakat madani, Rasulullah
S.A.W. telah menggunakan khidmat seorang bukan Islam
yang berpengalaman dengan jalan
pintas yang selamat dan cepat
sampai ke Madinah. Sudah tentu
seorang bukan Islam yang
dipercayai akan menyimpan kerahsiaan menjaga keselamatan,
dan benci kepada kezaliman walau
pun tidak menganut Islam. Di Madinah pula dilaksanakan
amalan menegakkan negara,
dengan kekuatan umat Islam
sendiri di kalangan Muhajirin dan
Ansar, seterusnya melibatkan kaum
bukan Islam di kalangan Yahudi, Kristian, Musyrikin Arab dan
membenarkan kewujudan
kalangan munafiq dalam
masyarakat Madinah. Semuanya
mengambil kira ayat-ayat Al Quran
yang memberi amaran supaya berwaspada terhadap musuh dan
ayat-ayat yang mengizinkan dan
mewajibkan Islam disampaikan
kepada seluruh manusia dan
pelaksanaan Islam terhadap
seluruh manusia juga. Maka pengajian secara feqah
(faham) sahaja boleh
melaksanakan risalahnya dengan
istiqamah, bukan sahaja
memahami nas secara ayatnya
yang zahir, termasuk juga meletakkan pelaksanaannya pada
masa, tempat dan situasi yang
berbeza. Banyak ayat-ayat Al Quran
diturunkan dan hadith-hadith
Rasulullah S.A.W. bersandarkan
sebab yang berlaku sekiranya memerlukan penjelasan. Apabila Rasulullah S.A.W. menerima
perjanjian Hudaibiyyah, manakala
para sahabat merasakan perjanjian
itu berat sebelah dan tidak
berpehak kepada Islam, bahkan
lebih berpihak kepada musuhnya. Bermula dengan pihak musyrikin (i)
menolak penggunaan Bismillah, (ii)
menentang dicatit nama
Muhammad Rasulullah, (iii)
membenarkan mereka yang
berada di Madinah melarikan diri ke Makkah, sebaliknya tidak
membenarkan orang Islam di
Makkah berhijrah ke Madinah, (iv)
dilarang meneruskan amalan
umrah walau pun Rasulullah dan
para sahabatnya sudah berpakaian ihram dan lain-lain. Rasulullah S.A.W. bertegas dengan
keputusan menerima perjanjian
Hudaibiyah tanpa wahyu
diturunkan, tetapi berpandukan
ketajaman bacaan Rasul terhadap
Feqah politik semasa, dan para sahabat mentaati secara mutlak
kerana kerasulannya. Akhirnya
perjanjian yang diterima memberi
kemenangan yang besar kepada
Islam dan menerima kunjungan
kabilah yang datang menganut Islam dengan jumlah berlipat kali
ganda sebelumnya. Dalam perkara yang lain, Allah
S.W.T. mengajar Rasulullah S.A.W.
dan para sahabat R.A. melaksana
dan mematuhi Syura secara tegas
dalam peristiwa Uhud dengan
firman-Nya dalam Surah Ali-Imran ayat 159 yang bermaksud: (Dan bermesyuaratlah dengan
mereka dalam mengendalikan
urusan. Maka apabila engkau telah
berazam (dengan keputusan )
maka berserah kepada Allah,
sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berserah
kepadanya). Ayat ini menunjukkan kepada kita
konsep bermesyuarat dan
kepatuhan kepada keputusan yang
diambil dan mengharapkan
pertolongan Allah selepasnya,
walau pun selepasnya menerima tamparan korban dan kecederaan.
Ini adalah cara bermesyuarat
dalam Feqah berjamaah khususnya
dalam politik. Semua kenyataan tersebut adalah
menjadi pedoman kepada sesiapa
yang mahu berpolitik secara Islam.
Bagi mengemaskini supaya ajaran
Islam dilaksanakan secara Feqah,
maka para ulama merangka kaedah-kaedah ilmu yang berkait
dengannya yang dinama ilmu usul
feqh, maqasid syariat dan siyasah
syari’yyah. Bagi memelihara ajaran ini
dilaksanakan, maka Parti Islam Se-
Malaysia (PAS) mewujudkan MAJLIS
SYURA ULAMA sebagai badan yang
berwibawa mengikut
perlembagaan PAS untuk memelihara amalan Islam secara
Feqah Islam yang sebenar. Badan
yang dianggotai oleh kalangan
ilmuan Islam yang mampu
memahami sumbernya yang
tertinggi: Al Quran, Hadith, Ijmak, dan Qiyas yang nyata. Majlis Syura
Ulama bertanggungjawab
melakukan kajian dan ijtihad secara
Jamaei dalam menghadapi cabaran
semasa dengan sistem ilmu-ilmu
yang berkait dengannya. Keanggotaan Ahli Majlis Syura pula
mewakili seluruh cabang
kepimpinan tertinggi PAS. PAS telah berjaya menghadapi
semua pengalaman di sepanjang
perjuangannya sejak ditubuhkan,
sama ada secara bersendirian,
bersefahaman dengan: kerajaan,
pembangkang dan NGO, Islam dan kalangan bukan Islam. Pendekatan politik mutakhir
bersama Pakatan Rakyat adalah
menjadi penerusan amalan politik
Islam secara feqah, bukannya
secara remeh temeh. Kejayaan
dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep
perlembagaan, Islam menjadi
agama negara dengan hak yang
diberi secara adil kepada penganut
agama lain, hak Bumiputra, Bahasa
Kebangsaan dan Raja Berpelembagaan. Perlu diingat, bahawa UMNO yang
menjadi teras kerajaan BN gagal
mencapai matlamatnya setelah
memerintah lebih lima puluh
tahun, kerana tidak menjadikan
Islam mengikut makna Al Quran dan ajaran Rasulullah S.A.W. Apakah
tempoh masa lebih lima puluh
tahun tidak mampu melakukan
muhasabah? Seluruh ahli PAS wajib bertambah
yakin bersama perjuangan di atas
bahtera PAS dengan setiap
pengalamannya walau pun tidak
diberi hak yang adil, inilah sifatnya
perjuangan Islam. Kita wajib menyedari bahawa semua
tindakan bersendirian telah
mengugurkan sesiapa sahaja tanpa
mengira kedudukan dalam PAS.
Namun PAS tetap selamat dan
menjadi Parti Islam yang makin gagah perkasa menghadapi
cabaran pasang surut perjuangan
Islam. PAS terus istiqamah dengan
perlembagaan tertingginya yang
dijamin oleh kumpulan yang
berwibawa. Sesiapa yang cuba
berlagak pandai tanpa ilmu yang
sebenar pasti tersungkur dengan lagaknya, dan sesiapa yang
berilmu dan menganggap dirinya
paling bijak dalam PAS secara
individunya tanpa peduli terhadap
adab berjamaah dalam Islam, akan
menjadi mangsa serigala politik yang menjadi musuh perjuangan
Islam, inilah sikap membahayakan
diri sendiri yang diberi amaran oleh
Rasulullah S.A.W. Maksudnya: (Sesungguhnya syaitan
itu adalah serigala yang
menangkap manusia, laksana
serigala yang menangkap kambing
yang terpencil daripada
kawanannya dan yang berada disudut yang menjauh diri
daripada kawanannya). Dalam
Musnad Ahmad. PAS terus terbuka kepada semua
yang bersedia bersamanya bagi
melangsungkan perjuangan
menegakkan Islam yang menjadi
rahmat kepada seluruh manusia. Sesiapa yang menyertai PAS wajib
mengikut haluan dan hala tujunya
serta cara perjalanannya yang
tersendiri, berlandaskan Islam
secara feqah dan bukan hanya
berpaksikan semangat tanpa ilmu dan faham.

No comments:

Post a Comment